Sunday, December 11, 2016

Cerpen 'REVOLUSI CANGKUNG' oleh Fudzail (Mingguan Malaysia 11 Dis 2016)




Biodata:
Fudzail berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000. Terlibat dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan pengurus Yusuf Islam. Kini beliau menjadi CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa di Dubai, selain sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin.
Pernah memenangi hadiah sastera sebanyak 16 kali termasuk 4 kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Beliau boleh dihubungi melalui emel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com

Cerpen: Revolusi Cangkung

Oleh: Fudzail
(1)

Shahid pun masuk. Ramai sudah berbaris. Dengan pelbagai wajah. Reaksi untuk melepaskan hajat. Ada bau menerpa dan menusuk. Bau yang menterjemah realiti. Gambaran satu keadaan yang tidak berubah. Bau itu lambang tahap kemajuan yang beku.
Lantai seakan berkulat juga memaparkan simbiosis sumbang. Tidak bersih. Lembab. Tidak mengundang kemesraan. Suram suasana. Tidak ceria. Merimaskan.
Dia menjenguk ke arah dalam. Ada sepuluh orang berbaris didepan. Dari fizikal, tujuh pelancung yang sama-sama tiba. Banyak penerbangan awal pagi. dibelakangnya sudah ada yang berbaris. Merangkai satu himpunan yang berdisplin dalam menahan asakan dari dalam diri.
Sabar menanti, bisikan hati Shahid. Hanya lima pintu. Tertutup. Manakala yang berbaris sudah melebihi 20 orang. Penerbangan tujuh jam dari Doha meletihkan. Perut pula memulas.
Pelancung Arab yang beratur didepannya menoleh. Wajah mencemik. Mahu sahaja dikatakan, selamat datang ke negara kami, maaf tandas dilapangan terbang ini tidak bertaraf dunia, tidak sebagaimana iklan dan propaganda yang diwarwarkan diseluruh planet.
Tidak mesra pelancung.
Shahid mahu terus melontar perasaan, tandas yang tidak diselanggara sebaiknya ini bukan lambang kemiskinan etika kami, hanya sebuah kesilapan. Jangan jadikan tandas busuk ini sebagai pengalaman terburuk untuk yang pertama kali melawat negara kami.
Mungkin lelaki berkulit putih itu dapat membaca apa yang berada difikiran Shahid. Melontar senyuman pahit. Sepahit penantian dalam ruang berbau dan suram.
Mungkin dia dalam keadaan kecemasan, sama seperti Shahid. Kalau tidak sudah lama keluar dari perangkap sebuah keadaan. Keluar daripada buana penantian yang menyeksakan.
(2)
"Duduk atau mencangkung yang lebih baik?"
Tanya Kushairi sambil mata terus kepada skrin telefon pintar. Berada didunia maya yang merentas ruang dan masa.
"Mana yang sunnah?" Tanya pula Rashdan yang sama menatap skrin telefon pintarnya. Berinteraksi dengan pelbagai rakan-rakan maya melalui media sosial. Hampir setiap masa mata didepan skrin, termasuk diwaktu memandu. Dia tahu berbahaya, tetapi sudah menjadi tabiat yang sukar diluputkan.
Shahid menggeleng. Dia melihat dua rakannya yang duduk bersama tetapi tidak bersama secara peribadi disatu ruang. Masing-masing sibuk dengan sembang dari Whatsapp dan Facebook. Atas talian lebih mesra dari berdepan secara fiikal.
"Apa masalahnya?" Tanya Shahid.
"Sudah viral di media sosial yang mencangkung adalah lebih baik dari kajian perubatan, ini menepati sunnah!" Jawab Rashdan sambil menaip diskrin. Jari jemarinya begitu cepat dan laju memetik huruf-huruf diatas skrin.
"Begitulah perkara itu menjadi isu dan viral. Padahal yang lebih penting, yang kita kena cakna, kebersihan tandas terus menjadi tabu dan keadaan tandas terus jelek!"
Shahid bersuara dengan wajah serius. Dia baharu membaca statistik yang lebih 61 peratus dari tandas awam diseluruh negara dalam keadaan terburuk. Hanya 3 peratus mendapat taraf lima bintang dan 10 peratus terus tidak boleh ditarafkan apa-apa, tidak berfungsi!
Cukup memalukan.
Kedua rakan baiknya itu sama sahaja dengan majoriti yang lain, tidak peduli, tidak cakna, dan tidak ambil kisah mengenai kebersihan tandas. Semenjak sama-sama di asrama ke universiti. Sama sahaja status pemikiran walau sudah beranak pinak.
Rashdan dan Kushairi sudah bergelar Datuk, jutawan atau golongan kelas menengah, masih sama tahap sikap dan taraf nilai kebersihan. Sekadar ada, sekadar nampak bersih dari sudut makro. Tidak peduli secara mikro.
"Kau tahu berapa puluh juta setiap tahun dibazirkan kerana tandas yang kotor?" Tanya Shahid, kali ini suara agak tinggi untuk menarik perhatian dua rakan yang terus fokus dengan skrin telefon masing-masing.
Tiada respon. Mungkin sekadar emoji atau emotikon berwajah senyum. Isu politik semasa mengepung minda.
Shahid memahami yang topik kebersihan tandas tidak pernah menarik minat majoriti mereka yang setiap hari menggunakan tandas. Dari awal pagi kesebelum masuk tidur. Tandas menjadi destini kerap yang wajib.
"Dalam berpolitik pun, orang Melayu dengan ‘sikap tandas’ kegenerasi abad ke 21 ini. Politik kita dipenuhi dengan hasad dengki, caci-mencaci, fitnah, jatuh menjatuh, politik wang dan sanggup buat apa saja untuk jatuhkan lawan. Jijik seperti tandas-tandas awam kita!"
Kata-kata Shahid itu secepat kilat menarik minat Kushairi dan Rashdan.
Memang sebut sahaja politik, boleh sembang 24 jam sehari dan tidak pernah menjadi!
(3)
"Kau harus memahami mengenai perbedaan antara kawasan pedalaman dan bandar, mengenai penggunaan tandas. Di kawasan bandar memang ada kesedaran untuk kebersihan tandas. Tidak sebegitu di kawasan pedalaman, bukan sahaja kerana persekitaran, tetapi keadaan tanpa fasiliti yang sewajarnya!"
Profesor Nizarulail berkata sambil melepaskan asap rokok ke udara. Semenjak lama mahu berhenti merokok, semakin banyak menghisap dengan tekanan daripada KPI dan tuntutan kerja serta dilema alam pendidikan. Perubahan prioriti dan ranking universiti menambah stres.
"Kita sudah sepatutnya mengubah rekabentuk hiasan dan keadaan tandas menjadi lebih ceria, cantik dan berwarna-warni. Lihat barangan komersial yang kelihatan cantik mudah untuk dijual. Anggap tandas sebagai satu produk komersil dengan teknoloji canggih seperti telefon pintar kita ini, tentu ramai menghargai!"
Shahid mendengar sepenuhnya. Sesekali berbincang dengan tokoh ilmuwan memberi banyak pengetahuan. Walaupun dia tahu, banyak yang hanya teori semata-mata.
"Aku tidak bersetuju dengan perbedaan antara pedalaman dan bandar. Kita telah enam puluh tahun merdeka, kau pergilah ke masjid misalnya, sebagai contoh tempat ibadah, sama sahaja pedalaman atau bandar, masih tidak memuaskan tahap kebersihan tandas!"
Keduanya merokok diluar bangunan pejabat. Cuaca mendung memberi udara nyaman. Seperti biasa, kebiasaan merokok tidak mudah untuk ditinggalkan. Walau amaran tentang bahaya merokok siap dengan imejan di kotak rokok, tidak pernah memberi apa-apa kesan kepada perokok tegar. Letaklah berapa mahal harga sekotak rokok, tetap menjadi menu harian untuk paru-paru mengepam asap rokok yang dipenuhi pelbagai bahan kimia.
"Kau lihat di beberapa negara kafir, seperti New Zealand, tandas-tandas yang terletak tepi jalan tercorok di ulu, tempat jin tendang pun bersih dan terjaga. Manakala kau pergilah ke banyak negara-negara Islam, tandas-tandas masjid pun kotor, walhal kebersihan itu salah satu ciri wajib dalam feqah. Kalau kau pernah berkereta di Arab Saudi dari Riyadh ke Makkah misalnya dan berhenti di tempat-tempat R & R, nak masuk dalam tandas pun tak jadi dengan bau dan keadaan menjijikan!"
Shahid melepaskan pengalaman yang dilaluinya. Tandas menjadi sebahagian dari titipan kembara yang merentas sempadan dan budaya. Tandas menjadi lambang dan simbol kehebatan komuniti, bukan sekadar kekayaan material dan bangunan-bangunan tinggi tersergam. Bukan siapa menganut agama apa dan mana bangsa yang lebih mulia kalau tandas tidak terjaga sebersihnya.
"Persepsi mengenai tandas yang kotor, berbaur busuk dan suram mesti diubah. Patut menjadi terang, berwarna-warni dan menceriakan. Menjadi tempat yang boleh bersantai. Aku pernah ke Dubai dan tandas di merata kompleks membeli belah seperti taman dan boleh tidur dalamnya!"
Sambung Profesor Nizarulail dengan nada serius. Banyak kali dia menyuarakan isu tandas dan sebagai profesor bidang sains sosial, dia mempunyai agenda sendiri dalam pembangunan tandas tempatan sebagai fasiliti bertaraf dunia.
Shahid tahu yang tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menjadi negara maju selagi kebersihan tandas tidak menjadi satu kewajiban setiap orang. Kerana itu dia tertarik dengan pendidikan di Jepun yang mana pelajar-pelajar sendiri membersihkan tandas memberikan asas yang kuat. Tetapi Jepun telah membina budaya tandas semenjak beberapa generasi.
"Sepatutnya, kita tidak perlu ada pekerja yang mencuci tandas kalau setiap orang tahu menghargai tandas dan tahu tahap kebersihan yang sepatutnya!"
Sekali lagi, Profesor Nizarulail menghembus rokok. Bagai melontar seribu kemelut dalam fikiran. Tandas menjadi isu yang boleh membawa implikasi ekonomi. Ada efek kepada persekitaran dan kesihatan.
"Kita tidak mungkin mencapai apa-apa dengan bersembang sahaja. Kita mesti melakukan sesuatu. Bermula pendidikan dari rumah dan sekolah. Apabila individu berubah, barulah ada transformasi yang lebih berkesan!"
Shahid mengangguk. Entah mengapa dalam keadaan ekonomi kurang memberangsangkan dia melihat semakin teruk pula tahap kebersihan dikebanyakan tandas awam. Tidak pasti ada pertalian dan korelasi. Sesuatu yang menyebabkan dia disambar oleh semangat perjuangan sebagai orang tua. Jihad sikap untuk lebih fokus kepada kebersihan tandas.
Seakan satu perjuangan yang lebih bermakna daripada pelbagai perjuangan yang pernah dilakukannya sepanjang kehidupan. Dalam usia yang semakin diambang senja, tahap usia bonus, Shahid tahu yang dia perlu ada legasi sebagai aktivis masyarakat sebelum pencen. Sebelum jasad menjadi jenazah dan sekadar tulang temulang dalam tanah.
(3)
"Bertuahnya generasi millennial abad ke 21. Apabila mahu membuang air besar, boleh lintang pukang lari balik ke rumah atau mana-mana tandas awam. Zaman pakcik dahulu, apabila mahu buang air besar, terpaksa lari lintang pukang kedalam semak, ke tepi paya atau sungai dan laut. Atau dibelakang pokok. Asal ada tempat untuk melepas!"
Anak-anak muda yang mendengar pun tergelak. Hirok pikok.
Lucu mendengar cerita era enam puluhan. Era filem P.Ramlee. Era filem hitam putih. Era tanpa tandas dikebanyakan kampung dan juga bandar kecil. Era yang mudah dan ringan-ringan. Tiada ekstrisme. Tiada Wahabi. Tiada Shiah. Tiada Liberalisasi. Tiada LGBT. Yang ada hanya muhibbah. Pembangunan pasca kemerdekaan. Seperti filem-filem P.Ramlee yang merentas zaman, tiada hipokrasi terlampau. Realiti yang sureal.
Era yang penuh kesusahan, tetapi berisi kebahagian. Era yang menggamit rindu buat Shahid setiap terjengah dalam ruang deja vu.
Shahid tahu nostalgia tentang era tanpa tandas sukar difahami oleh generasi alaf ke 21 yang hidup dengan kemewahan, Internet dan gajet. Mungkin tiga atau  empat dekad nanti mereka para millennial pula bernostalgia tentang gajet-gajet yang semakin menjadi nilai peribadi seseorang. Gajet-gajet yang sepatutnya mendekatkan mereka kepada kebersihan tandas. Kepada tanggungjawab sebagai pengguna tandas yang bukan sekadar stereotaip.
Shahid teringat sewaktu kecil dia sering membuat tandas terbang. Terutama ketika waktu malam. Gelap. Takut untuk turun rumah. Juga kalau hari hujan. Tiada pilihan. Meneram atas kertas bungkus barang. Lempar sejauh mungkin dalam kegelapan. Yang pasti, esoknya sentiasa bersih kerana bungkusan keramat itu dimakan ayam. Atau dimakan kura-kura.
Sekali sekala mengguna tandas pusing. Curi peluang untuk buang air besar dibelakang pokok. Kalau ada sesiapa lalu, segera lari keliling pokok untuk bersembunyi, itulah tandas pusing.
Shahid teringatkan tandas angkut diawal tahun tujuhpuluhan. Ramai saudara mara yang bekerja angkut najis dan dipanggil pelbagai gelaran menjijikkan walaupun mereka sekadar mencari rezeki halal dan bukan merompak wang rakyat. Menghina pekerjaan mulia walau kelihatan menjijikkan. Bukan nampak mulia tetapi melakukan jenayah yang menjijikkan.
Teringat cerita ayahnya dizaman tahun lima puluhan ke enampuluhan. Menetap di kampung dipersisiran pantai timur. Kebiasannya melepaskan hajat di tepi pantai. Bersantaian. Angkat kain pelikat dan cangkung. Sambil menikmati hembusan angin Laut Cina Selatan. Mendamba jiwa dan berlatar lagy sentimental. Bau pun hilang dibawa angin lalu.
Kalau mencangkung di tepi pantai, ada pula sistem semulajadi. Shahid terbayang auto flush dan auto wash. Luncuran ombak laju yang berfungsi dua dalam satu. Ada bahayanya kerana ramai yang tidak biasa atau tersalah masa, terus tubuh ditarik ombak masuk ke dalam laut.  Basah kuyup. Boleh lemas. Dan ada yang tertanggal kain sarong dibawa ombak. Bogel dan terkapar. Terkonteng-konteng menutup kemaluan.
Tidak lupa tandas serkup. Meneram dan serkup dengan tempurung. Buang dalam semak dan belukar. Kalau nasib malang, ada yang terambil dan menemui bahan organik paling asli. Lantas menjadi sengketa.
Pernah Shahid cuba mencangkung di atas batang pokok kelapa condong. Sekadar berkain pelikat. Goyangan batang kepala yang dihenjut-henjut mengkhayalkan budak-budak seperti dia yang selalu berangan-angan jauh. Melebar impian. Mahu jadi superman. Atau jadi askar. Nikmat tandas bergoyang memberi banyak inspirasi. Dan selepas mencangkung, bergegas mencari perigi untuk membersihkan diri. Sungguh bahagia. Tiada konflik antara penghuni oleh sebab remeh temeh.
Tidak dapat dibayangkan oleh anak-anak muda yang mendengar, tidak terjangkau imaginasi mereka yang sentiasa asyik dengan permainan komputer. Dari permainan bola Fifa ke mencari Pokemon. Dunia hayalan rekaan yang mencantas banyak kreativiti.
Mereka hanya ketawa sambil membayangkan betapa kartunnya kehidupan tahun-tahun filem hitam putih. Selamba sahaja Shahid membawa cerita-cerita yang tiada di Facebook. Menyebabkan ceramah mengenai tandas menjadi hiburan dan Shahid seakan peserta paling lawak dalam siri Maharaja Lawak. Boleh menjadi selebriti dan idola.
(4)
Pengalaman buruk sewaktu lawatan ke negara China sedekad lalu masih menjadi igauan. Tandas sebagai fasiliti asas hampir tiada langsung untuk pelancung. Beberapa kali dia cuba menahan hajat di Beijing walau terasa tidak tahan, akhirnya terpaksa mencangkung secara terbuka. Tandas tanpa pintu kubikal. Terbuka. Mengikut budaya tempatan. Masuk kandang rimau mengaum, masuk tandas negara Cina, mencangkung tanpa malu secara terbuka.
"Kalian tahu tak kerajaan China telah memulakan revolusi tandas tahun lalu untuk membina 33,000 buah tandas baharu di kawasan-kawasan pelancungan dan membaik pulih 25,000 lagi diseluruh China?"
Pertanyaan Ishak melalui grup Whatsapp alumni universitinya memberi ilham. Diskusi yang dibawa oleh Shahid mendapat pelbagai respon. Majoriti bersetuju mengenai keadaan tandas awam masih tidak berubah.
Meleret-leret diskusi sehingga mencecah ribuan komen. Para siswazah tua dan muda yang sepatutnya lebih berilmu, lebih kehadapan bukan sahaja sebagai profesional, ahli perniagaan, politikus, ahli akademik, malah sebagai pengguna tandas yang bertaraf negara maju.
"Kalian tahu, lebih separuh dari penduduk India tidak mempunyai akses untuk menggunakan tandas?" Komen Mustapha Kamal, arkitek yang banyak kali ke India atas urusan bisnes. "Itu dalam 600 juta manusia tanpa tandas!"
"Islam mengutamakan kebersihan dan dari sudut feqah, kalau tidak bersih, ibadah tidak diterima. Kalau kita tengok keadaan tandas di banyak masjid, rasanya kita tidak cukup mematuhi feqah!" Komen Matlan, jurutera minyak yang selalu menulis mengenai hukum agama dan dipanggil Lebai Google kerana sering menyalin apa sahaja dari carian Google.
"Satu pertiga dari penduduk dunia tidak menggunakan tandas secara betul. Itu belum dikira dari segi kebersihan!" Komen Datin Ani, isteri politikus yang sesekali menyampuk.
"Tandas boleh menyelamatkan nyawa kerana banyak wabak penyakit tersebar melalui tandas yang kotor, apalagi kalau pembuangan najis dibuat secara terbuka dan dimana-mana!" Sampuk Dr. Rohana.
"Penggunaan tandas yang kotor boleh mengundang pelbagai penyakit seperti jangkitan pada salur atau pundi kencing yang disebabkan oleh kuman Eschericha Coli atau E. Coli!" Sambung Dr. Norzi, cuba menguatkan hujah Dr. Rohana.
"Bisnes kumpul najis memang menguntungkan!" Jenaka Azmi, seorang pegawai bank, memeriahkan diskusi. "Siapa kata najis tiada nilai? Najis boleh memberi kekayaan!"
"Kalau murid-murid kita kena cuci tandas sebagai aktiviti ko-kurikulum, tentu ibu bapa mengamuk. Penuhlah status Facebook dengan pelbagai maki hamun. Memang susah untuk mengubah minda kita yang menganggap pendidikan sekadar lulus peperiksaan cemerlang dengan semua A untuk subjek semata-mata!"
Membaca komen-komen yang terus masuk itu menyegarkan fikiran Shahid. Ternyata ramai yang memahami apa yang ingin dilakukan. Kesimpulan yang bukan sekompleks belajar sains nuklear. Realitinya, kesedaran sivik dan mentaliti majoriti warganegara terhadap kepentingan penjagaan kebersihan tandas awam masih lagi di takuk lama.
"Memang memalukan sekiranya tandas awam yang berbau dan kotor terus dianggap sebagai perkara biasa. Bukan sahaja keadaan tandas yang kotor, malah tidak dapat berfungsi dengan baik kerana pelbagai kerosakan akibat perbuatan vandalisme!"
Shahid menulis dengan lebih bersemangat. Menjadikan grup Whatsapp alumni itu lebih meriah, walau semua tahu, tidak banyak yang boleh dilakukan kalau sekadar bersembang atas talian. Omongan wira papan kekunci. Kata-kata yang tidak bermakna apa-apa.
Shahid telah lama memulakan kempen kebersihan tandas dirumahnya sendiri. Anak-anaknya mesti mencuci tandas setiap minggu. Walau anak-anaknya terus komplen mengenai keadaan tandas di sekolah yang tidak terjaga. Komplen mengenai kawan-kawan yang tidak peduli pun walau ditegur. Sehingga mereka ke universiti dan bekerja, masih komplen.
Lantas Shahid terus melontar satu anjakan pradigma kepada kawan-kawan di Facebook dan disemua grup Whatsapp termasuk grup kariah masjid. Bergema bagai halilintar. Masanya telah tiba untuk bangkit dan meredah ruang ignoran para warga maya dan warga luar maya.
Sambil mencangkung, Shahid menaip dengan bersemangat.
"Jom! Demi masa depan generasi millennial, Kita mulakan revolusi cangkung!"
- Tamat -